Isnin, 18 Disember 2017

3 Hari Orang Yang Sama?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 

     Entah kenapa hati saya dipagut dengan rasa kelakar dan rasa ingin tahu tujuannya apabila mengenangkan kembali kenangan bermimpi orang yang sama selama 3 hari berturut-turut. Kelakar ada, emosi ada, semuanya bercampur baur menjadi satu. 


Mimpi pertama di asrama sekolah:
      Seorang warden lelaki yang berumur 45-an menghampiri saya sambil tangannya membawa sebuah kotak yang berisi dengan beberapa roti. Dia kemudiannya menegur sambil memberi sebuah kotak berisi beberapa roti, "Nabila, tolong agihkan roti ni kat semua,"

      Dari mana dia tahu nama saya, saya pun tidak tahu walhal saya tidak memakai tag nama. Tetapi, saya akur sahaja arahannya lalu mengagihkan roti tersebut dengan segera kepada semua murid asrama. 

*Tiada ucapan terima kasih pun. Alahai.*
*Saya mengabaikan sahaja mimpi tersebut kerana sedar mimpi ini mainan syaitan tetapi bersyukur kerana mimpi tersebut telah mengejutkan saya pada waktu yang tepat. Subuh. Istirghfar dan Alhamdulillah.*


Mimpi kedua di sekolah:
      "Nabila, cikgu nak tanya. Nama penuh  kamu apa?!" Tanya Cikgu Izzuddin dengan nada yang lembut tetapi sedikit tegas sambil jarinya ditunjuk kepada buku rekod kesalahan. Namanya? Sudah jelas terpampang di tag nama di pakaiannya. 

      "Emm , Nabila Huda binti .... tapi kenapa saya yang kena tuduh cikgu?" Separuh jawapan diserta pertanyaan kembali sambil membuat muka kecewa dan tidak bersalah.

      "Okay,Nabila. Kamu sedar tak kamu buat apa tadi?" 

      "Saya buat apa?"

      "Tadi,Nabila buat..." tak sempat dia menghabiskan, tiba-tiba saya terjaga dari tidur. Fuhh. Nasib baik ia sekadar mimpi 'indah' tetapi persoalannya, kenapa orang yang sama dalam mimpi selama 2 hari ini?


 Hari itu juga saya mengabaikan mimpi 'indah' yang kedua ini dan mengharapkan supaya esok tiada lagi mimpi orang yang sama. Bukan tak suka tapi ia menimbulkan persoalan dalam kepala saya. Mujur saya tidak makan dalam dan cepat lupa kerana terlalu fokus terhadap pelajaran saya.


Mimpi ketiga di mana entah:
"Nabila, kamu perlu tingkatkan usaha kalau kamu......" terkelu lidah seorang lelaki yang berumur 45-an (tetapi mukanya kelihatan muda berbanding umurnya) apabila hendak berbicara. 


-Tamat-


P/s: Perkara sebegini dah lama berlaku. Maka, biarlah ia berlalu. 😂

Khamis, 13 Julai 2017

3 Syawal Yang Sesak. (Bahagian 1)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bismillahirrahmanirrahim,


     Akhirnya, saya dapat meluangkan masa yang ada setelah melalui pelbagai cabaran sebelum ini. Nak diceritakan apa cabaran yang saya lalui sebelum ini tapi panjang ceritanya. Jadi, lebih baik saya direct kepada tajuk "3 Syawal Yang Sesak". 

     Pada 1 Syawal, sepupu saya, Kamel, diminta untuk membeli barangan (untuk kenduri hari keluarga pada 3 Syawal) di kedai runcit terdekat dengan menunggang skuter. Dia kemudiannya mengajak saya pergi bersama. Saya menerima ajakannya memandangkan sudah lama tidak membonceng skuter. Rindunya nikmat membonceng skuter. 

     Ketika itu, kami baru sahaja pulang dari beraya di rumah saudara terdekat. Maka, kami sedikit letih untuk teruskan perjalanan. Tapi, sebut sahaja naik skuter, saya terus bertenaga. Hehehe... Ketika itu juga, kami berpakaian baju kurung dan jubah.

     Saya pun tanya, "Tak nak tukar baju ke?"

     "Tak yah kot. Pakai camni je," jawabnya setelah memerhati pemakaian kami.

     Kami pun menuju ke motorsikal. Saya menjeling topi keledar milik Kamel yang berada di atas tempat duduk skuter, hati saya pun terdetik "Eh, aku punya takde ke?"

     "Amiklah topi keledar Cik Am tu," ujar bapa saudara iaitu Cik Am yang berada di halaman kampung.

     "Eh eh macam tahu je apa yang aku nak. Ni yang buat aku sayang kat Cik Am," getus hatiku.  

     Setelah saya mengambil dan memakai topi keledar milik Cik Am, saya pun cuba duduk di belakang Kamel dengan mengangkat kain. Nasib baik pakai seluar getah, jadi tiada yang menampakkan aurat kaki. Tidak lama kemudian, kami pun bertolak ke pekan Semerah untuk membeli barangan yang dipesan.Sebelum itu, kami menuju ke stesen minyak Petronas untuk mengisi minyak. 

     Sesudah tiba di sana, Kamel menyuruh saya pergi bayar duit minyak yang berharga RM5. Alamak, sudahlah aku takde pengalaman tentang berkomunikasi dengan penjaga kaunter, inikan suruh aku pergi bayar. 

     "Mel, aku tak tahu camne nak cakap dengan abang kaunter tu," ujarku sambil tersengih.

     Dia hanya memandangku dengan muka blur. 

     "Cakap berapa ringgit then nombor berapa. Macam tu, Mel?" tanyaku. 

     Dia mengangguk. 

     Maka, saya menuju ke kaunter lalu bersuara untuk membayar duit minyak. "Bang, 5 ringgit untuk nombor 1," 

     Abang kaunter pun membalas, "Okay, kalau ada baki, ambil baki di sini ya," 

     Alhamdulillah, selesai juga. Saya menuju kembali ke tempat tadi lalu memerhati Kamel yang sedang mengisi minyak. Takut rasanya dari gerak gerinya kerana sudah lama tidak mengisi minyak. Maklumlah,dia merupakan pelajar UiTM tahun ketiga di Skudai dan tinggal bersama keluarganya. Zaman kanak-kanaknya, dia tinggal bersama nenek dan bapa saudara iaitu Cik Api. Saya tabik dengan pendiriannya yang hidup berdikari kerana berjauhan dengan ibunya sejak kecil. Ibunya balik pun semasa cuti sekolah atau hari penting di sekolahnya sahaja. 

     Balik kepada tadi, Kamel yang sedang mengisi minyak telahpun selesai. Harganya tidak sampai RM5 tetapi RM4.95. 

     "Mel, nak ambil baki tak? Tak payah lah, 5 sen je. Anggap sedekah kepada pendapatan negara," tanyaku tetapi pendapatan negara tu yang tak tahan. Hahaha.

     Kamel pun setuju dengan pendapat saya. Kemudian, kami pun menuju ke kedai runcit. Tapi, pada masa yang sama, dia memanggil nama saya secara tiba-tiba. 

     "Kenapa?'

     "Selipar kita putus," katanya sambil parking di tepi jalan raya.

     "Hah? Selipar putus? Mana? Nak tengok," 

     Setelah saya melihat keadaan seliparnya yang putus, kami pun memandang satu sama lain sambil tersengih. Kamel yang sejak tadi menyebut perkataan stress kerana tidak tahu hendak membuat apa setelah seliparnya putus. Kesian akak ni.

     Tapi, saya yang cool ni, cuba memujuk hatinya. "Takpe Mel, alang-alang kita pergi beli barang, sambil itu lah kita beli selipar baru,"

     "Takut, malu. Nak balik tapi takut Tokmak marah,"

      "Takpe. Aku belikan selipar. Kedai tak jauh kan?"

      Dia tidak berkata apa-apa tetapi kami menuju ke kedai runcit. Apabila kami tiba di hadapan kedai milik orang Cina (tak ingat apa nama kedai), saya pun turun dari skuter. Nasib baik kedai buka hari Ahad. 

     Saya pun memasuki ke dalam perut kedai tersebut untuk mencari selipar. Setelah 2 minit, tiada bayang selipar yang keihatan. Kalau ada pun, selipar kanak-kanak sahaja. Saya cuba mencari di rak selipar kanak-kanak lalu ditegur oleh seorang wanita tua yang berbangsa Cina.

      "Dik cari apa?"

      "Cari selipar dewasa, tapi takde kat sini," 

      Wanita tersebut menuju ke sebelah kedai. Sebelahnya dijadikan sebuah stor selipar, kasut, bag dan sebagainya.  "Nak selipar macam mana?"

      "Selipar biasa pun boleh, aunty."
      "Mel, sini ada jual, tapi 'disorok'. Saiz berapa? Nak warna apa?"  saya cuba memanggilnya lalu menanyakan tentang saiz dan warna pilihannya.

      "Tak tahu saiz berapa. Nak warna biru," jawabnya sambil tangan kanannya sedang menanggalkan selipar untuk memberi kepada saya.

      Saya pun mengambil seliparnya lalu dibawa kepada wanita sebentar tadi.  "Saiznya tak tahu, ahh.. Saya nak warna biru,"

      Wanita tadi sedang menyelongkar rak-rak selipar untuk mencari selipar yang dikehendaki. Saya hanya memerhatinya sambil menunggu dengan sabar.

      "Mel, mai sini lah. Tengok selipar yang Mel nak pilih,"

      Dia hanya menurut lalu memasuki ke dalam perut kedai yang dijadikan sebagai stor. Dia pun mula memilih selipar yang mahu dipakai. Setelah  beberapa minit, kami selesai lalu membayar terus kepada wanita tua tadi.

      "Aunty kalau buka hari Ahad, senang dapat untung kan," ujar sepupu saya yang petah berkata.

      'Wah, wah.. Pandai pula dia berkata-kata.' getus hatiku.

      Selepas itu, kami pun menuju ke sebelah kedai stor untuk membeli barangan seperti mangkuk kecil,kertas mahjong coklat,sampul duit raya dan pinggan. Akhirnya, kami selesai membeli barangan seperti yang dipesan setelah melalui sebuah halangan walau tidaklah sebesar mana.


💢Bersambung💢

Jumaat, 19 Mei 2017

Cikgu pinjam sekejap eh?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bismillahirrahmanirrahim,

      Pagi tadi, lenguh juga tangan kanan saya yang sedang menyiapkan ujian Sejarah kertas 3 dalam masa 3 jam. Hendak berehat sebentar, takut ada 'musibah' datang. Mahu tak mahu, kena teruskan juga penulisan ujian Sejarah pagi tadi.

      Alhamdulillah, selepas 2 jam 30 minit saya sempat menyiapkan Sejarah kertas 3 dengan seboleh-bolehnya. Fuhh, nasib baik. Saya mengambil masa yang ada untuk menyemak sekali lagi kertas Sejarah tersebut. Pada masa yang sama, tiba-tiba beberapa plot atau jalan cerita terawang-awang dalam kepala saya yang hendak dimasukkan ke dalam novel berjudul 'AKU'. Tak tahu bagaimana nak cari akal dek kekurangan ilmu.

      "Aduh, kenapa-lah kau datang dalam kepala aku sekarang ni? Dah-lah tengah periksa Pertengahan Tahun. Hishh" Getus hatiku. Sudah-lah tidak kena tempat malah, tidak kena waktu.

      'Sabar-sabar, Nabila. Jangan stress sangat. Kalau tak, susah nak control cara kau berfikir.'

      Lantas saya terus cuba membuang beberapa plot yang terawang-awang dari kepala saya, saya pun cuba mengenang kembali peristiwa yang berlaku pada hari semalam. Terus tersengih seorang diri sehingga rakan sebelah menegur saya.

===============================

      Pada hari semalam, saya sedang menjawab ujian PSV kertas 2 yang memerlukan kemahiran melukis. Tahap kemahiran melukis milik saya, boleh tahan-lah. HAHA.

      Ketika itu, Cikgu Tarmizi yang menjaga kelas saya. Dia pun meronda satu kelas saya. Agaknya dia bosan, fikir saya. Lalu, dia mengambil kerusi guru seraya mengambil tempat di belakang saya yang tengah-tengah. Saya tak banyak fikir tentangnya. Memang, sebab saya sudah biasa melihat ragam seorang guru ketika peperiksaan berlangsung. Normal bagi saya.

      Saya yang banyak meragam ketika menjawab PSV tersebut, hanya mampu bertawakal. Dari tukar posisi duduk kemudian membuat gimik muka lagaknya sedang memikirkan sesuatu. Apakah?

      Tak lama kemudian, saya melihat pensel tekan saya dipegang oleh sesorang dengan pandangan dari mata sebelah kiri lalu terdengar suara yang menegur.

      "Pinjam eh?" rupanya Cikgu Tarmizi yang memegang pensel tekan milik saya.

      Saya hanya mengangguk. Tanda membenarkannya untuk menggunakan khidmat pensel tekan saya secara sukarela. Ececeh.

      Saya pun meneruskan apa yang patut tanpa banyak soal. Setelah beberapa minit, seorang guru Matematik iaitu Sir Liew datang ke dalam perut kelas saya untuk melaksanakan tugasnya. Cikgu Tarmizi dan Sir Liew hanya menukar pandangan sambil menyumbang 'sedekah' yang berharga di raut wajah mereka.

      Tetapi, saya teringat sesuatu setelah Cikgu Tarmizi melangkah keluah dari kelas saya. Alamak, pensel tekan saya. Dia tak pulangkan lagi.

      "Tak apa, nanti kau jumpa dia," getus hatiku. Itu sahaja cara yang ada walaupun saya malu untuk berhadapan dengan kaum Adam yang tidak rapat sangat.

      Setelah waktu rehat tamat, saya terus menuju ke bilik guru untuk berjumpa dengannya. Alhamdulillah, nasib baik dia ada. Saya memberanikan diri untuk menemuinya dengan melangkah kaki sehingga ke hadapan meja Cikgu Tarmizi lalu memanggilnya.

      "Cikgu Tarmizi,ahhh.. tadi Cikgu Tarmizi ada pinjam pensel tekan saya tapi tak pulangkan," ujarku dengan nada yang sedikit perlahan.

      "Hah?" Soalnya seolah-olah tidak mendengar apa yang saya katakan disebabkan suara saya.

      "Tadi, cikgu ada pinjam pensel tekan saya tapi cikgu tak pulangkan," saya mengulang sekali lagi dengan sabar. Tak marah pun. Tak baik kata hatiku.

      "Siapa pinjam?" Soalnya lagi.

      "Ehh, cikgu lah,"

      "Bila masa?" Soalnya lagi. Dia tak ingat agaknya

      "Hahhh.. masa waktu pertama kat kelas 5SE," saya cuba tolong dia recall balik memori.

      Dia pun termenung, cuba mengingat balik berdasarkan apa saya katakan sebentar tadi. Lalu, dia membuka beg miliknya yang terletak di bawah perutnya untuk menyemak kelibat pensel tekan saya. Itu-lah benda yang dia selalu bawa pada setiap hari. Comel, fikir saya sebab jarang melihat perkara sebegini.

      Dia pun mengeluarkan barang yang ada dalam begnya lalu meletakkan di atas meja. Saya hanya menunggu sambil memandang sekeliling. Janggal rasanya walaupun ada guru lain di sana.

      "Tak de juga ke, cikgu?" Soalku setelah beberapa minit.

      "Tak de pun," punya dia geledahkan begnya sekuat hati, tak jumpa-jumpa juga.

      "Takpe lah, cikgu. Saya cuba cari kat kelas saya,"

      "Apeni, cuba cari dekat meja belakang sekali. Pensel jatuh kot,"

      "Meja belakang sekali? Ouh, OK." Soalku meminta kepastian.

      "Aah, dekat meja ko kan?"

      "Yup," saya mengangguk tetapi terkejut dengan perkataan yang dikeluarkan dari mulutnya. Ya, perkataan Ko yang menggantikan perkataan asal iaitu, Kau. Terkejut, tersentak, semuanya ada dalam hati saya. Tetapi, perbualan kami diteruskan.

      "Ahh.. ko cari dekat situ,"

      "OK. Minta maaf ya cikgu. Apa-apa pun, terima kasih juga cikgu," ucapku tanda perbualan kami berdua sudah berakhir lalu melangkah keluar dari perut bilik guru.

      'Apa pula cikgu guna perkataan Ko dekat aku ni. Astargfirullahalazim, sabar je weh,' getus hatiku sambil berjalan kaki menuju kembali ke kelas saya. Perasaan terkejut itu masih ada bagaikan terkena kejutan elektrik. Saya tak marah pun sebab cikgu Tarmizi itu bukanlah orang yang amat muda dari saya. Kalau tak, dia mesti jadi pelajar Tingkatan 4 kan. Huhuhu.. Cuma terkejut je, terkejut.

      Apabila saya sudah masuk ke dalam perut kelas saya, saya pun berpusu ke tempat yang dinyatakan oleh Cikgu Tarmizi sebentar tadi. Rupanya, pensel tekan saya terbiar di lantai sebegitu. Kehilangan kata-kata tapi saya terus mengambil pensel tersebut. Sayang benar dekat pensel tu.

      Atif bertanya, "Kenapa?"

      "Tadi aku gi jumpa Cikgu Tarmizi. Pensel kat situ rupanya," jawabku sambil jari telunjuk sedang menunjukkan lokasi pensel yang terbiar sebentar tadi.

Pada hemat saya, (tak tahu nak cakap apa, sebab dah kehilangan kata-kata tentang kejadian tersebut.)

==============================

      Kembali kepada waktu pagi tadi, akhirnya waktu menjawab Sejarah Kertas 3 sudah tamat pada pukul 10.30 pagi tadi. Saya yang memainkan peranan sebagai 'orang belakang sekali' perlu mengutip kertas dari belakang sehingga ke hadapan lalu menyerahkan kepada Cikgu Noriza.

Akhirnya, kami boleh bersarapan. Yeayyy.

Jumaat, 5 Mei 2017

PTPTN yang bagi?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

      "Nanti Along nak pinjam RM200 boleh?" Soalnya secara tiba-tiba di bilik tidur saya.

      "RM200? Nak buat apa?" Soalan dijawab dengan soalan. Cuba mengenalpasti tujuan dia meminjam wang sebanyak RM200.

      "Nak beli kereta baru," jawabnya sambil tersengih selepas memikirkan jawapan.

      "Ishh, macamlah saya banyak duit. Budak sekolah lagi. Kalau dah banyak, dah lama bagi duit kat Along," ujarku.

      Sebelum ini, dia memang berhasrat hendak membeli barang-barang seperti yang pernah dinyatakan dalam senarai barang. Pernah juga bergurau dalam soal wang meskipun mengetahui bahawa saya tidak memegang wang yang banyak. Apatah lagi, saya merupakan pelajar yang akan menduduki SPM pada tahun ini.

      "Takpe. Nanti bila kau dah dapat RM15000, Along amik sikit dari tu."

      "Hah? RM15000? Macam mana saya boleh dapat duit banyak tu? " terbeliak mataku apabila mendengar jumlah wang yang dinyatakan. Tak berminat tapi terkejut.

      "Insurans PTPTN bagi,"

      "Kenapa dia nak bagi pulak?" Soalku kerana makin keliru.

      "Sebab kamu simpan duit masa sekolah rendah, sekarang ni dia bagi balik masa kamu dah umur 17 tahun. Official. Rasanya lah,"

      "Ouh ya? Tapi, bukannya saya yang pegang duit tu pun. Tanyalah ayah ke ibu, sebab dia yang pegang duit tu kan. Kalau diorang bagi, amik lah,"

      "Alahh, tolonglah tanya kan," kelihatan raut wajahnya yang sedikit kecewa meskipun sedang bergurau.

      "Ishh, taknak taknak. Kang diorang tak bagi pulop," ujarku sambil menggeleng.

      Akhirnya, 'Work Hard Pays Off'. Sejak kecil lagi, saya dididik untuk menabung wang ke dalam PTPTN (Sekarang dah tak simpan duit. Untuk kanak-kanak sahaja katanya), ASB dan Lembaga Tabung Haji. Saya pun semakin biasa dengan perbuatan sebegini. Rupanya banyak manfaat jika kita terus menabung dari semasa ke semasa.

Alhamdulillah, terima kasih Ayah & Ibu.

     Seingat saya, ketika Hari Raya Aidilfitri berlangsung, saya sebagai kanak-kanak akan mendapat duit raya daripada saudara-mara, ahli keluarga dan kenalan ibu bapa. Saya akan mengira sendiri apabila wang sudah banyak. Kadang-kadang, saya perolehinya dalam RM100-RM300. Kemudian, saya akan menghulurkan wang tersebut kepada ibubapa supaya masuk ke dalam akaun LTH. Begitulah pemikiran saya ketika itu walaupun kanak-kanak lain mahu membelanjakan duit raya yang diperoleh atau sebaliknya.

      Sekarang saya sudah menjejak ke alam remaja, mesti-lah tidak mendapat duit raya lagi. Kalau ada pun, mesti pemberi akan menanya dulu "Sekolah lagi?". Rasa kelakar bila terkenang kembali soalannya. Kah kah kah...
     
      Jika guru yang mengajar, mungkin dalam 2-3 guru sahaja yang memberi duit raya. Ada juga yang berkata, "Kalau nak duit raya, datang rumah cikgu." Aduh, kalau pergi rumah cikgu untuk raya, tak mampu sebab jarak rumahnya dari rumah saya amat jauh.

       Tahun ini, tak dapat ku duga lagi. Tak mampu menerima duit raya lagi(bukan sebab letih). Tak mampu menjadi orang yang bakal 'memberi duit raya' kepada kanak-kanak ceria pada masa akan datang.

Isnin, 24 April 2017

Ayam Goreng Jatuh di Pulau Pangkor.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

      Ketika saya mengemas rumah tadi, saya berasa geli hati dek kerana terkenang kembali peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Peristiwa ini berlaku di Pulau Pangkor pada tahun 2014 atau 2015.

      Saya pergi lawatan PPKI ke Pulau Pangkor dengan izin ibubapa. Untuk kali pertama pula tu. Mestilah saya berasa gementar dan sedikit bimbang jikalau saya mabuk laut serta fobia terhadap air laut. Alhamdulillah, saya tidak mabuk laut dan semakin kurang fobianya.

      Apabila saya sudah menjelajah beberapa tempat bersejarah di sana bersama guru dan murid PPKI, kami sempat beristirahat di tepi pantai (nama pantai tak ingat) dan mengambil peluang untuk menjamah makanan yang disediakan oleh guru-guru. Saya sudah pun mendapat makanan lalu menjadikan dahan pokok yang besar sebagai tempat duduk. Almaklumlah, kedai makan yang berdekatan ditutup pada hari tersebut tetapi ada sesetengah warung yang buka. Kami redha je. Saya duduk di dahan tersebut bersama Fatina dan Amirah.

      Sambil itu, saya membuka bungkus makanan yang saya dapat sebentar tadi lalu mengetuai doa sebelum makan bersama dua remaja perempuan bersebelahan. Akhirnya, kami dapat menjamah makanan setelah berpeluh-peluh beberapa jam lalu. Selepas beberapa minit, saya hendak membetulkan posisi duduk kerana berasa tidak selesa tetapi malangnya ayam goreng jatuh di atas pasir tanah secara tiba-tiba. Saya pun terkejut. "Ya Allah, alangkahnya kalau awak tidak betulkan posisi duduk awak tu," getus hatiku. 

      Pada masa yang sama, staf sokongan PPKI iaitu Bonda Rin telah menyaksikan kejadian tersebut lalu berkata, "Aduh, ayam siapa lah yang melompat ke situ pula?"

      Saya hanya menahan rasa malu kerana Fatina, Amirah dan Rozaimee telah pun melihat kejadian sebentar tadi. Kami hanya mampu sengih pada muka masing-masing lalu ketawa berdekah-dekah. Saya melihat seekor kucing meluru ke arah ayam goreng yang jatuh tadi, ia menikmati makanannya walaupun sudah 'sebati' dengan pasir tanah. Berasa hampa tetapi anggaplah ia sebagai sedekah kepada haiwan suci ini.

      Tak lama kemudian, Rozaimee dengan spontannya menghulurkan sedikit ayam goreng kepada saya. Diikuti oleh Fatina pula. Barangkali mereka berasa kasihan terhadap saya yang tidak mempunyai ayam goreng selepas apa yang menimpa diri sendiri. Saya yang terharu dengan perbuatan mereka berdua hanya berterima kasih kepada mereka.

      Kami pun menjamah makanan dengan selesa walaupun masih terkenang peristiwa yang berlaku sebentar tadi.

P/s: Terima kasih banyak sebab sudi berkongsi ayam goreng pada hari itu. Entah ingat entah tidak.

Khamis, 30 Mac 2017

Dah tingkatan 5?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

       Hari ini, saya kepenatan akibat persembahan tarian untuk Drama Komsas yang berlangsung pada pagi tadi. Tambah-tambahan dengan kesihatan yang semakin menaik dan menurun. Entah bila nak stabil agaknya. Ujian Allah, kita kena sabar menghadapinya.

      Walaupun penat, tapi saya tetap gagahi diri. Padahal, tertidur masa kelas relief yang Tc Julyana tidak masuk kelas saya. Guru relief saya tadi ialah.. namanya tidak saya ingat, tapi beliau merupakan guru kaunseling. Perempuan. HAHAHA. Nampak sangat 'pelajar cemerlang' kat situ kan. Kebiasaannya, guru kaunseling akan mengambil kesempatan apabila guru tidak hadir ke sekolah untuk memberi nasihat tentang kerjaya atau memberitahu maklumat fasal masa depan. Semalam, Cikgu Razak sudah pun relief kelas PSV/ERT saya untuk 2 masa. Hari ini? Arghh. Saya still tak tahu menahu juga apa arah tuju selepas SPM nanti. Mungkin bakal penulis, bakal kerani atau bakal jurugambar ? Kita tengok-tengokkanlah.

      Ketika saya hendak ke kantin sekolah pada waktu pulang, saya terlihat seorang guru perempuan yang berbangsa Cina , berbadan gempal tetapi tidaklah segempal mana dan berpakaian baju kurung. Dia sedang berdiri di sudut kantin yang berdekatan dengan tempat letak kereta. Maka, saya pun cuba menghampirinya. Semakin dekat jarak antara kami berdua, semakin saya mengecam mukanya.

      'Ohh, Teacher Yap!' Jerit hatiku. Teacher Yap merupakan bekas guru kelas saya dan juga guru matematik pada zaman sekolah rendah di SKSB.

      "Hai, Teacher Yap," Saya pun mula menegurnya lalu menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya. Sungguh! Saya tidak menyangka bahawa saya dapat menemuinya lagi setelah 5 tahun tidak berjumpa. Alhamdulillah. Takdir Allah.

      "Hai. Eh Nabilaa!! Kamu sekolah sini ya?" Tanyanya dengan perasaan terkejut. Mujur dia ingat bekas anak muridnya.

      "Aah, teacher," jawabku sambil senyum.

      "Oh, kamu dah tingkatan berapa sekarang ni?"

      "Aaa, tingkatan 5 dah,"

      "Tingkatan 5 dah? Ya ke?" Tanyanya lagi sambil matanya memandang saya dari atas hingga bawah. Bagaikan tidak percaya bahawa saya sudah menjadi calon SPM pada tahun ini. Masa berlalu begitu pantas. Memang ayat itulah yang selalu berlegar di dalam kepala saya.

      "Ya, tc. Percayalah,"

      Akhirnya, saya menamatkan perbualan kami kerana saya perlu bergegas untuk pulang ke rumah. Bukan tak sabar nak balik. Ayah selalu membebel kenapa lambat, kenapa lambat. 'Ayah, open mind sikit. Oghang dah tingkatan 5, mestilah lambat sikit.' Getus hatiku.

      Sesudah tiba di rumah, saya berehat sebentar sebelum membersihkan diri untuk menunaikan solat Zohor. Pada masa yang sama, saya mengenang kembali peristiwa pada zaman sekolah rendah. Teacher Yap selalu juga menggemari saya kerana saya biasanya orang pertama yang menjawab soalan matematik. Tetapi, lama-kelamaan ada pesaing yang amat cerdik dalam Matematik iaitu Ideris. Kami berdua akan bersaing untuk menjadi orang pertama dalam menyiapkan tugasan yang diberikan . Tidak cukup dengan itu. Jika saya orang pertama yang siap, Ideris akan meminta saya menunggunya.  Mungkin cemburu agaknya. HAHAHA. Ada juga yang meminta saya mengajar mereka yang masih blur. Peristiwa-peristiwa sebegitu masih jelas di dalam lubuk ingatan.

Peristiwa kedua.
      Guru BI iaitu Teacher Atiqah ialah orang kedua yang saya merapatkan diri setelah Teacher Yap. Pemilik nama Noor Atiqah ini memiliki wajah yang ceria,tidak lekang dari senyumannya apabila kami bertembung dan mengambil berat tentang prestasi anak muridnya. Kami selalu bergurau-gurau dan saya selalu menanya apa yang tidak difahami kepadanya. Dia juga membaiki cara menyebut perkataan inggeris yang asing dan membetulkan ayat yang kurang tepat baginya.

      Pada tahun 5 hingga 6, saya selalu juga diminta olehnya untuk mengangkat barang. Mujur dia memahami masalah kesihatan saya ketika itu, telah menyebabkan saya terharu kerana mempunyai guru yang bertolak-ansur.

      Selain itu, saya juga pernah disuruh menjaga kelas tahun 2 kerana dia ada hal lain yang mahu diuruskan ketika itu. Tidakkk!!! Itulah jawapan yang saya ingin menjerit apabila mendengar cikgu berkata begitu. Tapi, apakan daya? Ketika itu, kami berada di bilik guru dan jika saya menjerit sesuka hati, sudah semestinya jeritan itu akan memecah suasana guru-guru yang berada di sana. Apa pun, saya kena juga teruskan amanah yang diberi dan laksanakan dengan baik. Mujur kelas tahun 2, kalau tidak meranalah kena berhadapan dengan kenakalan murid tahun 4 dan 5. Malangnya, jangkaan suasana kelas yang diamanahkan kepada saya telah meleset. Ada sesetengah yang nakal, ada yang tidak nakal. Maka, saya perlu bertegas dalam handle kenakalan mereka supaya suasana kelas berasa aman dan damai. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

      Banyak juga kenangan yang dicipta secara semula jadi di sekolah yang amat luas dan juga bersebelahan dengan SJKT Pundut. Serta kenangan bersama ayah yang ketika itu merupakan pembekal bahan KH dan alat keperluan sekolah selama 5 tahun di sana.

Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru SKSB kerana telah mendidik saya sehingga menjadi orang yang berguna. Terima kasih juga kepada mereka kerana telah membuatkan saya memahami tanggungjawab sebagai pelajar.

Pendek kata, thanks for made it possible.

Jumaat, 17 Mac 2017

Entahlah, Mirul.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

      Entah mengapa, hari ini hati saya berasa seperti berkobar-kobar untuk mula menulis novel. Padahal, saya sendiri tiada masa untuk berbuat demikian kerana terikat dengan jadual sekolah, hal keluarga, hal rumah yang perlu saya uruskan sebagai anak bongsu. Satu-satunya anak perempuan dan harapan kepada ibu bapa saya. Ideanya (Jalan cerita) sudah ada , cuma belum ada masa nak buat.

      Novel BCJC sebelum ini bagaikan harapan yang punah kerana sukar memberi impak yang besar. Kali ini, saya berharap novel baru ini dapat memberi kesan yang positif dalam kalangan masyarakat 'marhaen'. Novel ini mempunyai kisah yang berkaitan dengan hubungan bersama Allah, keluarga, jiran tetangga, guru dan rakan. Ada yang kisah negatif tetapi diharapkan dapat memberi pengajaran kepada setiap bakal pembaca yang 'jahat'.

      Sebenarnya, susah juga nak jadi penulis novel memandangkan saya terlalu terikat dengan jadual sekolah dan sebagainya. Apatah lagi, tahun ini saya akan menghadapi peperiksaan SPM. Susah nak fokus benda lain dalam satu masa. Tapi, saya akan cuba untuk menyusun jadual supaya tidak menangguhkan perkara penting.

      "Ya Allah, aku berharap Engkau melancarkan segala urusan aku tanpa apa-apa halangan. Dengarkan keluhan dalam doaku apabila aku jatuh bangkit meskipun aku tidak pernah luahkan kepada orang lain. Sesungguhnya kerana Engkau lah yang menentukan segalanya dan Engkau lah semangat aku untuk meneruskan kehidupan sebagai umat Islam,"

Ameen.

P/s : Biar lambat keluarkan novel, asalkan berjaya. Idok ke?

==================

      "Wey, kau tak pergi KV Shah Alam ke?" Tanya Mirul sebelum saya sempat keluar dari bilik tayangan Pend Khas. Mirul kini merupakan murid KV Merbok, Kedah dengan mukanya menahan malu. Maklumlah, dah lama tak jumpa. Hari ini, dia datang melawat warga Pend Khas bersama seorang lagi iaitu Daniel yang juga merupakan KV Merbok.

      "Hah? Ohh, tak pergi. Kenapa?" Jawabku dalam nada yang perlahan yang merujuk kepada perasaan kecewa.

      "Takde pape. Kenapa hang tak pergi KV Shah Alam tu?" Tanyanya lagi.

      "Entahlah, Mirul." Saya cuba menyorok 'jawapan'nya dalam senyuman. "Rugi kan aku tak pergi sana,"

      "Aah. Rugi tapi kau bukan dapat ke?" Tanyanya lagi.

      "Alhamdulillah, aku dapat je tawaran tu, tapi ada masalah sampai tak jadi pergi sana,"

      "Oh, masalah? Masalah apa tu?"

      Saya mendiamkan diri sahaja kerana tidak mahu mengenangnya kembali. Diam seribu bahasa sehingga bilik tayangan itu menjadi sunyi. Dapat dengar suara orang lain yang berada di luar dari situ. Bunyi kipas dinding juga didengari.

      Ni yang cuak sangat sebab dia banyak tanya. Baru sahaja masalah KV itu dah dibuang dari minda ke 'laut'dan 'angin' sejak saya meluahkan kepada Cikgu Izzuddin. Sejak itulah, saya dah buang perasaan dendam terhadap orang tua kerana sedar tidak elok berdendam dengan mereka. Juga kerana berkat nasihat Cikgu Izzuddin serta kekuatan Allah yang diberi dikala harapan saya hampir tiada. Ketika itu, saya bagaikan orang yang mati dalam dunia ini. Kerana tiada siapa yang kisah akan perihalku.

      Entah siapa lagi yang saya perlu mengadu untuk menjadi pendengar dan pemberi nasihat selain ibu bapa dan Allah.

Sabtu, 4 Mac 2017

Diibaratkan seperti pelarian Gaza.

Comel-kan budak yang aku bulatkan dalam gambar tu huhuhu. Taktahu lah nama dia sapa umur berapa, apa semua tapi dengar loghat macam orang Kedah ke Penang gitu.

Sangat kagum dengan adik ni apabila dengar dia bercakap. Hebatnya [流泪] yang paling aku ingat & terkesan bila dia sembang dengan sepupu-sepupu dia yang umurnya lebih kurang dia je. Apa entah dia cakap dari awal tapi ini yang aku dapat tangkap, "Kita ni ibarat pelarian Gaza,"

UISH. Tiba-tiba termuhasabah sendiri. Dalam teriknya matahari mereka berhimpun di situ dan banyak lagi ujian Allah yang dihadapi. Memang perlu sentiasa kuatkan diri & terus sabar. Aku yakin pasti ada yang terdetik dalam hati "ya Allah, aku tak larat," sambil air mata menitik mengalir huhuhu tapi ujian Allah bagi tu baru sikit. Sikit sangat. Sekurang-kurangnya saya dan awak semua yang berhimpun di Padang Merbok semalam ada stok makanan yg dibawa untuk dijamah apabila lapar, tikar/alas untuk duduk & solat, ada bawa air untuk ambik wuduk & sebagainya dan boleh solat dengan aman atas padang bla bla bla.

Tapi umat2 Islam di Gaza tu ? Dengan bunyi tembakan dan bom dari sana sini. Ayuh fikirkan sesuatu. Muhasabah.

SUMBER : Dari media sosial Wechat milik sepupu saya yang solehah yang juga berada di sana. Terima kasih kerana mengizinkan saya share perkara ini. Astarghfirullahalazim, saya juga termusahabah diri apabila memikirkannya sekali lagi. 

Khamis, 16 Februari 2017

Cikgu Bapa Yang Kuat !

Assalamualaikum dan selamat sejahtera .

      Encik Dilmi atau lebih mesra dipanggil oleh saya iaitu Cikgu Dilmi merupakan seorang guru Pendidikan Seni Visual di sekolah saya . Beliau mungkin berumur 50-an dan badannya kelihatan kurus dan fit walaupun usianya makin lanjut . Beliau seorang yang prihatin (Ambil berat tentang kesihatan sesorang, pagi tadi saya ditanya demam atau tidak sebab saya kelihatan tidak bermaya. Kalau ya , dia akan suruh berjumpa seorang guru untuk meminta ubat atau berehat. Tetapi saya sekadar menggeleng sebab saya tidak demam , cuma pening sedikit. Faham?) , malah beliau juga akan menceritakan tentang pengalamannya yang pernah meminta tunjuk ajar melukis daripada gurunya tetapi gurunya selamba menjawab "Bak 50 ringgit . Baru cikgu ajar," serta pengalaman menjadi guru seni dan sebagainya. Perwatakannya benar-benar seiring dengan sikap saya yang pendiam sehinggakan saya selesa dengannya dalam masa yang singkat .

*Ceh , selamba benar cikgunya.*

     Pada pagi tadi ketika beliau mengajar waktu PSV, selepas dia memberikan tutor cara mewarna dengan menggunakan berus dan poster colour kepada saya dan rakan sekelas dengan lebih dekat, saya dan rakan saya, Atif pun pergi ke tempat Cikgu Dilmi berada dan duduk berhadapan dengan dia.
      
      Ketika itu , beliau sedang mewarna lukisannya manakala kami sedang memerhatikan cara dia mewarnakan kerana otak saya entah ke mana masa tutor ramai-ramai tadi disebabkan menahan keperitan sejak waktu pertama di kelas saya. Saya dan Atif akan menanyakan perkara yang tidak difahami tentang seni kepada beliau . Nasib baik, beliau tidak sombong dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu berkaitan seni . Kemudian , sempat lagi beliau bercerita tentang anaknya yang mempunyai minat sama dengan beliau iaitu melukis dan mewarna .

         "Biasalah, keturunan kan," kataku kepada Atif selepas mendengar cerita Cikgu Dilmi tentang anaknya . Mana tidaknya , bak peribahasa Melayu, bapa borek anak rintik . Atau pun , bagaimana acuan begitulah kuihnya .

        Atif ketawa .

        "Cikgu, anak cikgu semua berapa?" Tanyaku .

        "Ahhh, 7 anak," jawabnya tetapi matanya tetap di lukisan . :D

        "Oh , 7 anak," baru ku tahu tentang bilangan anaknya . "Banyak juga," luahku kepada Atif dan Cikgu Dilmi yang setia mendengar walaupun khusyuk mewarna lukisannya .

      Atif sekali lagi ketawa akan luahanku .  "Eh eh , banyak kau kata,"

      "Tak, sebab banyak daripada Cikgu Izzuddin," terangku .

       "Ah, Cikgu Izzuddin berapa?" Tanya Cikgu Dilmi kepadaku .

       "Berapa eh? 6 anak , cikgu," jawabku . 
       "Oh, 6?" Beliau senyap selepas mendengar jawapanku.

'Huishh, Cikgu Dilmi kuat pulak dah sehinggakan mempunyai 7 cahayamata . Mak aku pun tak mampu nak bagi lebih,' bisik hatiku yang mengagumi kekuatannya sebagai bapa . Bukan setakat beliau , Cikgu Izzuddin pun sama , 6 anak. HAHA.. Anak rezeki Allah kan .
    
       "Anak bongsu dia tengah sekolah rendah kot," ceritaku .

       "Kalau anak cikgu , yang sulung dah kerja . Nombor 2 kerja juga . Nombor 3 sekarang tengah belajar ijazah(tak sure betul ke tak sebab tersalah dengar) . Nombor 4 sampai nombor 7 tu belajar juga,"  ujarnya menceritakan tentang urutan anak-anaknya sedang buat apa sekarang . 

       Saya sekadar mengangguk .

       "Uihhh," saya tersengih sebab ceritanya tentang 7 anak . Banyak tu . HAHA . Langsung tak pernah terlintas dalam kepala pasal cikgu ada anak ramai sangat .

      Kami hanya mendengar ceritanya sambil memerhati lukisannya yang sedang diwarnakan . Malah , saya mengagumi sekali lagi kekuatannya sebagai suami , bapa dan guru . Mampu memikul tanggungjawab yang berat sehingga badannya kelihatan kurus . Ya lah , ramai yang kata beliau kurus boleh pakai baju apa-apa kan . Baju klasik ke , baju rasmi ke , baju melayu ke . Beliau  pakai apa-apa pun tetap muat dengan saiz badannya yang kurus .

Minta maaf ,Cikgu Izzuddin kalau saya dah tikam belakang cikgu . Sekadar berkongsi cerita sahaja.

Selasa, 14 Februari 2017

Halau atau Bagi Tempat ?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera .

        Hari Ahad lepas , saya bersama-sama ayah saya pergi ke restoran Pak Su Seafood yang terletak di berhampiran dengan rumah saya untuk makan malam  . Ibu saya di mana ? Dia tidak mahu makan kerana sudah menjamah makanan petang bersama kami dan tetamu rumah kami . Dia berada di rumah sedang mengait bag-bag yang ditempah oleh rakannya manakala kami di restoran Pak Su Seafood.

       Restoran tersebut telah mendapat sambutan meriah dan menerima kunjungan pelanggan yang sangat ramai walaupun tidak mewah tetapi suasananya yang terletak berhadapan dengan jalan raya agak hening .  Beroperasi sejak bila ? Saya tak tahu , yang pasti restoran itu aktif ketika saya sekolah rendah . Pemilik kedainya , Encik Hazman atau lebih mesra dipanggil oleh saya dengan panggilan Pak Usu . Beliau amat mesra dengan keluarga saya dan personalitinya telah menarik perhatian saya .

      Apabila kami sudah selesai memesan makanan , kami bermain dengan kucing yang merayau di sekitar restoran tersebut . Ayah saya amat suka anak kucing sehingga pernah meletakkan anak kucing di atas peha saya . Saya bukannya tak suka kucing tapi takut dicakar oleh kucing yang aktif .

      Selepas kami mendapat makanan yang kami pesan tadi , kami pun menjamah makanan dengan senyap . Memang itu prinsip keluarga saya . Masa makan , jangan bercakap melainkan ada perkara yang hendak diceritakan . Jadi , sesiapa yang nampak saya makan tetapi senyap , ia disebabkan prinsip keluarga atau boleh dijadikan tabiat saya .

       Kemudian , apa cerita ? Ayah saya sudah menjamah makanan dengan selera sehingga pinggannya bersih dari sisa makanan . Tinggal saya yang sedang makan paprik ayam . Ketika saya sedang menghabiskan paprik ayam dengan tenang , ada sekeluarga besar yang baru sahaja tiba di restoran itu tetapi malangnya , meja makan sudah penuh . "Tak dapat nak merasai makanan kat sini lah nampaknya," aku bermonolog apa yang mereka bisikkan dalam hati .

      Saya memerhati sekeliling saya . Ada yang rileks je makan , ada yang buat tak tahu , ada yang main gajet telefon sambil merokok sedangkan sudah habis makan . Dah habis makan tu , pergilah balik ke tempat asal . Yang terperuk kat sana macam tiada dunia kenapa ? Cis . (Ops! Jangan kondem .)

      "Dah, jom. Diorang nak makan kat sini," ayah mengarah saya habiskan paprik dengan secepat mungkin  kemudian meluru ke kaunter bayaran . Air milo ais pun tak dapat nak habiskan dengan tenang . Seusai saya habiskan semuanya , saya bangun dari kerusi .

      "Silakan, encik," kataku kepada mereka yang baru datang dengan tenang .

        'Ya lah, takkan nak biarkan diorang balik rumah terus. Entah-entah, datang dari rumah yang jauh,' bisikku . Saya melihat mereka masih teragak-agak . Tetapi saya membiarkan sahaja . Urusan saya sudah selesai di sana . Bersyukur dapat menikmati selera bersama ayah walaupun ayah kurang sikap fatherly .

Saya pernah bertanya di wall Facebook saya tentang apa yang harus dibuat apabila ada pelanggan kedai makan datang tapi meja makan sudah penuh . Dan , responnya mungkin kelakar bagi penulis komen . Tetapi , saya tidak . Saya memandang komen tersebut dengan perasaan negatif .
Ada yang memberi komen , "tunggu lah" , "makan tepi jalan lah" , "halau diorang" .

Pengajarannya ?

Pada hemat saya , kita haruslah bertolak-ansur terhadap orang lain walaupun kita tidak mengenali mereka . Bak kata , janganlah menilai dari luaran berbanding dalamannya jika kita tidak mengetahui tentang kehidupannya .

Ahad, 5 Februari 2017

Trauma Alat Pendengaran

Asalnya saya hendak menceritakan tentang 'Nama Bapa Saya Bagai Tidak Dihormati' , tetapi saya rasa lebih baik saya ambil 'Alat Pendengaran' sebagai modal di entri blog ini .

        Pada tahun 2013 , itulah kali pertama saya menempuhi pelbagai cabaran sebagai pelajar OKU selepas ditemui Puan Rosiah yang mesra dengan panggilan Mama dalam kalangan warga Pend. Khas SMKSS . Hal ini disebabkan , saya tidak pernah mendaftar sebagai OKU di sekolah rendah . Dan , itu juga kali pertama saya melibatkan diri dalam Karnival Kesenian Pend. Khas peringkat Kebangsaan sehingga saya terlalu berusaha untuk memperbaiki diri . Pertandingan yang terlibat ketika itu ialah menganyam bakul dengan menggunakan rotan . Pegang rotan itu memang-lah rasanya sakit sebab asyik kena tarik kuat-kuat supaya dapat melihat bakul itu kelihatan kemas . Lama-kelamaan , apabila saya sudah mempelajari teknik menganyam bakul daripada seorang perempuan yang memang ada bakat menganyam di Ipoh , kesakitan itu hilang . Saya sudah biasa walaupun kesakitan itu meninggalkan kesan lebam di tapak tangan .
 
         Haa, kalau nak rasa macam mana sakitnya , pergilah ambil rotan , kemudian anyamlah sebuah bakul . Kalau nak tengok hasil bakul buatan tangan saya , silalah melawati Bilik Jahitan Pend Khas di SMKSS . Hanya guru dan pelajar sekolah sahaja dibenarkan . Gambar bakul sudah hilang dan tidak ddijumpai sehingga sekarang . HAHAHA ....
 
       OKAY . Kenapa saya berikan tajuk 'Trauma Alat Pendengaran' ? Bukan tajuk 'Anyaman Bakul' ?
Ada kisah sebaliknya .
 
       Sebenarnya , setelah Karnival Kesenian tersebut yang berlangsung di Hotel Village Melaka tamat , saya bersama rakan-rakan dan guru-guru yang terlibat pulang ke Manjung dari Melaka tanpa membawa kemenangan . Biasalah , adat pertandingan kan . Ada yang kalah , ada yang menang . Perak tiada rezeki agaknya . Saya tiba di rumah syurga yang dirindui setelah 2 hari meninggalkan .  Saya menanggalkan alat pendengaran kerana agak pedih di telinga disebabkan terlalu lama saya memakai alat itu . Saya pun beristirahat di bilik tidur saya selepas saya berkongsi pengalaman bersama ibu bapa .
 
      Pada hari keesokannya , saya bangun awal pukul 6 pagi lalu membersihkan diri untuk menimba ilmu ke sekolah . Malangnya , semangat baru berukar menjadi tragik apabila alat pendengaran tidak dijumpai . Saya sudah mencari merata-rata dengan perasaan gusar dan panik kerana itulah satu-satunya alat yang saya bergantung supaya dapat mendengar bunyi-bunyi di sekeliling . Apabila ibu bapa saya menyuruh saya pergi sekolah tanpa alat-alat itu , saya pun tidak tahu hendak membuat apa lagi . Tetapi , saya ikut sahaja arahan mereka . Mereka juga menyuruh saya menceritakan kepada Puan Rosiah . Beliau mengatakan bahawa bas yang kami gunakan semasa Karnival tidak menjumpai alat yang hilang .
 
     Dua hari kemudian , ayah membuat keputusan untuk membeli alat pendengaran baharu  di Ipoh  walaupun harganya agak mahal . Satu pasang berharga RM 4000 . Kakak yang berbangsa Cina pernah memesan kepada saya , "Lain kali , jangan hilangkan alat ini tau. Benda (Alat) ini mahal , saya takut ayah awak tak mampu nak beli baru,"
 
     Saya hanya mengangguk . Bagaikan tidak mengendah pesanan dia .
 
     Alhamdulillah , saya menjumpai alat-alat pendengaran yang lama di atas almari bilik saya dengan perasaan gembira selepas beberapa hari . Tetapi , yang misterinya , bagaimanakah alat-alat tersebut boleh berada di atas almari ? Sedangkan saya meletakkan ia di meja belajar yang separas dengan pinggang saya .
 


Gambar hiasan

Terima kasih kepada Puan Rosiah kerana menjawab pertanyaan saya tentang bila berlakunya detik ini . Saya sendiri tak ingat bila dan di mana,  maka minta bantuan Puan Rosiah . HEHE ..

Khamis, 26 Januari 2017

Penyesalan Sementara .

Penyesalan sementara boleh memberi iktibar dan menjadikan kita lebih baik sebelumnya .
         Pada hari pertama tahun 2013 , saya telah menjejakkan kaki di alam persekolahan menengah buat kali pertama dan saya berasa agak gementar . Hal ini disebabkan , saya sudah biasa dengan alam persekolahan rendah yang dipenuhi kanak-kanak prasekolah , rakan-rakan dan juga guru yang saya setia sanjung selama 7 tahun . Suasana di sana tidak dapat dilupakan serta selalu ada di minda saya . Tetapi , apa boleh buat ? Saya terpaksa mengharungi segala yang bakal terjadi selepas meninggalkan alam persekolahan rendah .
         Di kantin penuh sesak dengan murid tingkatan 1 termasuk saya . Ada yang dapat jumpa rakan lama , ada yang dapat jumpa senior mereka , ada yang keseorangan . Saya juga tidak ketinggalan untuk bertemu rakan lama yang berada di sana .  Kemudian , ada beberapa guru yang mengarah kami untuk menuju ke padang dan beratur mengikut kelas yang sudah ditetapkan . Saya kelas 3 Amanah lalu mencari di mana murid 3 Amanah berada , rupanya mereka berhampiran tempat orang main sepak takraw . (Tak tahu apa orang panggil tempat tu. Balapan ke ?)
         Setelah kami beratur mengikut kelas di sana , guru yang bertugas mengarah kami bergerak ke Dewan Sekolah untuk orientasi tingkatan 1 . Seusai kami bersurai untuk pergi ke kelas yang ditetapkan , saya mencari tempat duduk yang sesuai . Saya pun memilih tempat duduk di depan sekali tepi tingkap kerana doktor yang memberi saranan supaya duduk di depan sekali untuk keselesaan saya berikutan masalah pendengaran .
       Tidak lama kemudian , guru kelas yang pertama iaitu Puan Zakiah telah memasuki ke dalam perut kelas saya , kemudian dia melantik siapa yang sesuai untuk menjadi Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas tanpa undian . MAKSUDNYA , siapa yang dipilih oleh guru tesebut terus menjadi Ketua Kelas tanpa persetujuan murid yang lain . Tak gitu ? Tetapi ,saya tidak menduga bahawa saya telah menjadi Pen. Ketua Kelas setelah dilantik oleh Puan Zakiah . Memang terkejut sebab saya tidak pernah memegang jawatan yang lebih berat berbanding murid biasa .
       Tetapi , saya redha akan keadaan tersebut walaupun saya tahu ada masalah pendengaran ditambah dengan jawatan tersebut . Pada masa yang sama, saya cuba untuk tegahkan kelemahan saya supaya dapat menggalaskan tanggungjawab tersebut dengan baik . Saya juga cuba buat apa yang mampu sebagai Pen. Ketua Kelas misalnya tanda kehadiran , bagi salam dan sebagainya selama 5 bulan .
        Malangnya , sejak saya menjadi salah seorang murid baharu daripada Pend. Khas pada tahun yang sama , saya tidak lagi menyandang jawatan tersebut disebabkan saya aktif menyertai program Pend. Khas misalnya pertandingan dan lawatan .
.
Baru hari ini , saya menyesal bahawa saya tidak harus berhenti menyandang jawatan itu setelah saya menjadi pengawas sekolah sejak tahun lepas . Biarkanlah . Yang lepas janganlah dikenang . Tetapi, pada masa yang sama , penyesalan itu boleh buat kita menjadi lebih baik berbanding sebelum ini . Alhamdulillah .
Sebelum saya mengakhiri entri ini , saya mengucap ribuan terima kasih kepada Pak Cik Nor kerana memberi nasihat kepada ibu bapa tentang SMPKV itu pada dua hari lepas di rumah saya . Walaupun ditegah oleh ibu bapa hanya disebabkan takut saya tidak kena akan suasana di Shah Alam walhal saya pernah pergi tempat yang jauh tanpa pengawasan ibu bapa , saya tetap tabahkan hati yang koyak untuk tidak melawan mereka.
Macam orang kata , yang lepas janganlah dikenang . Yang baru harus difikir .


Sabtu, 21 Januari 2017

Bila CEO Jatuh Cinta

Inilah novel yang ditulis oleh saya tetapi tidak mendapat inspirasi yang secukupnya hingga menyebabkan saya tidak dapat meneruskan penulisan novel ini . Saya akan cuba untuk berjuang dalam penulisan novel yang bakal dikeluarkan pada tahun hadapan . In sha allah .

Anda boleh memberi pendapat atau sebarang komen tentang penulisan novel 'Bila CEO Jatuh Cinta' .

 
-Bab 1-

Pppappppp!!!!Fariz telah  dilanggar oleh seseorang sehingga terdengar bunyi gelas-gelas yang jatuh dari dulang. Sehinggakan pelanggan-pelanggan yang berada di sana melihat apa yang berlaku. Mula dah drama !

          “Alamak,kot aku!!”

Fariz melihat kotnya yang sedikit basah disebabkan ketumpahan air dari gelas oleh pelayan restoran.Air yang tumpah tadi taklah sedikit sampai 4 gelas.

‘Hishh!!Yalah , ini kan kot kesayangan aku.Dahlah mahal, diperbuat daripada kain yang sukar didapati pula’ getus dalam hatinya sambil perasaan marahnya terbuak-buak. Kemudian,Fariz melihat gadis yang telah membasahkan kotnya.

‘Hisk, mahu je aku kenakan perempuan yang cuai ni!’

          “Woi,kau ingat kot ni murah sangat ke sampai kau tumpahkan air kat kot aku ni? Hahh? Jalan tu pakailah mata,jangan pakai kaki aje!” teriaknya kepada seorang gadis yang telah tumpahkan air sebentar tadi.

Fariz menanggalkan kotnyakerana tidak mahu dilihat oleh pelanggan-pelanggan yang berada di sana. Serentak itu,Ilham menjelingkan kearah gadis tadi yang kelihatan kelam-kabut sehingga tak dapat mengawal emosinya. Dia berpakaian seperti pelayan bagi restoran ini. ‘Ceh,pekerja restoran ni rupanya. Restoran terkenal macam ni pun pilih dia kerja sini?’ soal hatinya.

“Saya minta maaf encik.Saya tak sengaja.”Luah gadis tersebut sambil tangannya sedang mengambil beberapa helai tisu di atas meja yang berdekatan kemudiannya mengelapkan kot Fariz bagimenghilangkan kesan tersebut.Fariz tersentak.Dia pun segera menolak tangan gadis tadi yang sedang mengelap bajuku sambil mulutnya hendak mengeluarkan kata-kata pedas.Malangnya , dihalang oleh seorang pengurus restoran yang muncul secara tiba-tiba.

“Maafkan saya Tuan Ilham dan maafkan kesilapan pekerja saya.Tolong lupakan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Saya akan pastikan perkara sebentar tadi tidak diulangi lagi pada masa depan.” Kata Encik Hadi teragak-agak kepada Tuan Ilham sambil memandang pekerjanya. Encik Hadi takut akan kata-kata yang bakal dikeluarkan dari mulut Tuan Ilham .

‘Eh, mestilah kena takut. Dia ni pelanggan tetap restoran ni,rakan kongsi aku bagi restoran ni. Dah tu, takkan nak suruh dia minta maaf kot,’ Bisik hati Encik Hadi.

 
 
-Bersambung-
 

Sabtu, 14 Januari 2017

Terima kasih , Cik Su .


Baru sehari dah habis acara merentas desa , kaki masih lagi tak boleh mahu berjalan seperti biasa . Entah bila kaki boleh berjalan seperti biasa ? Alhamdulillah tahun ini aku mendapat tempat ke-3 berbanding sebelum ini . 
Tak larat nak lari 5 km pun kenalah lari walaupun larinya pendek kemudian berjalan kaki . Ke aku memang tiada stamina yang secukupnya ?


Awal petang tadi , aku bertembung dengan Cik Su yang baru keluar dari rumahnya bersama anaknya ketika aku sedang menjalankan tugas memotong pokok-pokok yang dah berterabur di lantai . Kami pun membalas senyuman masing-masing malah tidak mengatakan apa-apa . Maka , kami pun ke haluan masing-masing . Aku menyambung tugasku manakala dia memandu keretanya entah ke mana . 


Usai mandi petang tadi , bilik tidur aku tiba-tiba diceroboh oleh ibu . Aku pun tergamam sebab punyalah aku terkejut dia tak ketuk bilik . Baru separuh dah sarung pakaian tidur . Fuhh , speed katanya . Dia pun baling sebuah plastik yang isinya pun aku tak tahu menahu di atas katilku . 

"Cik Su kasi," katanya dalam nada yang lembut selepas membaling plastik tersebut kemudian ke ruang tamu mini . 

Aku pun hairan sebab Cik Su tak pernah bagi apa-apa sebelum ini .
Kalau nak tahu siapa Cik Su , beliau ialah jiran yang tinggal di sebelah rumahku di Taman Emas 2 . Beliau sudah membina rumahtangga bersama jejaka yang sado tetapi badannya kecil dan mempunyai dua cahaya mata . Umurnya mungkin dalam 30-an kerana anak-anaknya masih kecil lagi . Seorang dah bersekolah darjah 2 , seorang lagi masih memerlukan susu (?) . 

Aku pun membelek lalu mengeluarkan isinya daripada plastik tersebut untuk merungkai misteri yang terdapat di dalam plastik itu . Terdapat tudung bawal berwarna pink bercorak seperti seni yang tidak dapat diungkapkan dengan mulut di dalam plastik itu .  Aku tak faham seni-seni walaupun aku ambil mata pelajaran Seni Visual melainkan ERT . Kuikuikui . 

'Ya Allah , buat apa dia bazirkan duit demi beli tudung untuk aku ? Padahal tidak rapat sangat,' desis hatiku . 

Apa-apapun , terima kasih banyak-banyak Cik Su kerana bersusah-payah untuk membeli tudung bawal kepada saya . Ada masa , saya akan membalas jasa Cik Su sebagai jiran .

Sememangnya penduduk di sini memang sunyi kecuali pada zaman kanak-kanak aku . Hal ini disebabkan , aku sering keluar dari rumah untuk bermain bersama rakan-rakan dan sering  melawat jiran yang dikenali bersama ibu bapa . Jiran-jiran pun sering melayan karenah masing-masing atau boleh dikatakan peramah dan selalu mengambil berat antara satu sama lain ketika itu .

Moga hubungan ukhuwah masyarakat di sini tidak terputus hanya disebabkan kami jarang bersua muka .