Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Ketika saya mengemas rumah tadi, saya berasa geli hati dek kerana terkenang kembali peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Peristiwa ini berlaku di Pulau Pangkor pada tahun 2014 atau 2015.
Saya pergi lawatan PPKI ke Pulau Pangkor dengan izin ibubapa. Untuk kali pertama pula tu. Mestilah saya berasa gementar dan sedikit bimbang jikalau saya mabuk laut serta fobia terhadap air laut. Alhamdulillah, saya tidak mabuk laut dan semakin kurang fobianya.
Apabila saya sudah menjelajah beberapa tempat bersejarah di sana bersama guru dan murid PPKI, kami sempat beristirahat di tepi pantai (nama pantai tak ingat) dan mengambil peluang untuk menjamah makanan yang disediakan oleh guru-guru. Saya sudah pun mendapat makanan lalu menjadikan dahan pokok yang besar sebagai tempat duduk. Almaklumlah, kedai makan yang berdekatan ditutup pada hari tersebut tetapi ada sesetengah warung yang buka. Kami redha je. Saya duduk di dahan tersebut bersama Fatina dan Amirah.
Sambil itu, saya membuka bungkus makanan yang saya dapat sebentar tadi lalu mengetuai doa sebelum makan bersama dua remaja perempuan bersebelahan. Akhirnya, kami dapat menjamah makanan setelah berpeluh-peluh beberapa jam lalu. Selepas beberapa minit, saya hendak membetulkan posisi duduk kerana berasa tidak selesa tetapi malangnya ayam goreng jatuh di atas pasir tanah secara tiba-tiba. Saya pun terkejut. "Ya Allah, alangkahnya kalau awak tidak betulkan posisi duduk awak tu," getus hatiku.
Pada masa yang sama, staf sokongan PPKI iaitu Bonda Rin telah menyaksikan kejadian tersebut lalu berkata, "Aduh, ayam siapa lah yang melompat ke situ pula?"
Saya hanya menahan rasa malu kerana Fatina, Amirah dan Rozaimee telah pun melihat kejadian sebentar tadi. Kami hanya mampu sengih pada muka masing-masing lalu ketawa berdekah-dekah. Saya melihat seekor kucing meluru ke arah ayam goreng yang jatuh tadi, ia menikmati makanannya walaupun sudah 'sebati' dengan pasir tanah. Berasa hampa tetapi anggaplah ia sebagai sedekah kepada haiwan suci ini.
Tak lama kemudian, Rozaimee dengan spontannya menghulurkan sedikit ayam goreng kepada saya. Diikuti oleh Fatina pula. Barangkali mereka berasa kasihan terhadap saya yang tidak mempunyai ayam goreng selepas apa yang menimpa diri sendiri. Saya yang terharu dengan perbuatan mereka berdua hanya berterima kasih kepada mereka.
Kami pun menjamah makanan dengan selesa walaupun masih terkenang peristiwa yang berlaku sebentar tadi.
P/s: Terima kasih banyak sebab sudi berkongsi ayam goreng pada hari itu. Entah ingat entah tidak.
Betul tu, bukan rezeki Nabila.
BalasPadamNanti kalau kita jumpa, cikgu belanja ayam goreng KFC
..heheheheee
Dah nak buat camne lagi, cikgu? Huhu. Berserah je.
BalasPadamOkay bereh cikgu. Cikgu jangan tak pegang janji pulop(Pulak). Hahaha